ENAKMEN LEMBAGA KEMAJUAN TANAH NEGERI SABAH 1981

(Sabah No.23 tahun 1981)


"Maka adalah menjadi kewajipan Lembaga bagi memajukan dan membantu

dalam penyiasatan, perumusan dan pelaksanaan projek-projek

bagi kemajuan dan penempatan tanah dalam Negeri"

(No.24 BAHAGIAN V FUNGSI-FUNGSI LEMBAGA)

 


 

Latar Belakang Penubuhan LKTNS

LKTNS telah ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menempatkan rakyat tempatan yang tidak bertanah melalui program-program pembangunan tanah berskala besar. Sejak ditubuhkan pada tahun 1969 sehingga 1982, LKTNS telah membangunkan 12 Skim Tanah Rancangan Peneroka dengan penanaman sawit melibatkan kawasan seluas 11,773 hektar dan berjaya menempatkan semula seramai 2,765 penduduk di penduduk luar bandar. Dalam tempoh tersebut, kesemua skim tanah rancangan diuruskan secara langsung oleh LKTNS.

Selain melaksanakan projek sosioekonomi, LKTNS juga telah membangunkan seluas 60,000 hektar ladang sawit komersil, termasuk mendirikan 8 buah kilang pemprosesan minyak sawit. Di samping itu, LKTNS juga telah mengadakan usahasama di Ladang PAMOL dan Ladang Sapi Plantation di Sandakan serta kilang penapis minyak sawit (refinery) iaitu Lahad Datu Edible Oil (LDEO) di Lahad Datu.


Pengkorporatan LKTNS

Pada 26 November 1996, semua aktiviti komersil LKTNS melibatkan 60,000 hektar ladang sawit dengan 8 buah kilang minyak sawit telah dikorporatkan melalui penubuhan Sawit Kinabalu Bhd (SKB) dan Borneo Samudera Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah. (Sumber: Corporatisation Agreement between The State Government of Sabah, Sabah Land Development Board, Sawit Kinabalu Berhad and Borneo Samudera Sdn. Bhd.).


Sejak pengkorporatan tersebut, sebanyak 12 Skim Rancangan Peneroka seluas 11,773 hektar dan aset usahasama seperti Ladang PAMOL, Ladang Sapi Plantation dan LDEO masih di bawah LKTNS.



Aktiviti Pembangunan Selepas Penstrukturan

Sejak disusun semula pada tahun 2001 sehingga tahun 2012, LKTNS telah menjalankan penanaman semula di kawasan berpeneroka melibatkan 1,046 orang di kawasan seluas 4,651 hektar dan pembangunan tanah baharu di luar bandar yang dimiliki penduduk kampung setempat melibatkan seramai 3,658 orang di kawasan seluas 17,855 hektar. LKTNS turut diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk membangun tanah seluas 8,150 hektar melalui usahasama dengan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) dengan penubuhan Keningau Agro-Venture Sdn Bhd. (KAVSB) di Keningau. Selama tempoh beroperasi, LKTNS telah berjaya meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dengan mewujudkan sumber pendapatan tetap, peluang pekerjaan dan peluang perniagaan di samping menjadi perintis kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan projek yang dilaksanakan. 

  

   

                     

Copyright © 2017 Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). All Rights Reserved.